Ahad, 24 Januari 2010

MEMILIH ADEGAN ATAU BABAK YANG PERLU DITULIS

SETIAP kita mempunyai masa yang sama dalam masa 24 jam sehari. Tetapi dalam masa yang panjang itu, berapa banyak masakah yang benar-benar penting di dalam kehidupan kita? Ditolak masa tidur, bekerja, berehat, mandi, makan dan sebagainya berapakah banyak masa yang tinggal?

Mungkin hanya satu atau dua jam sahaja yang benar-benar penting di dalam hidup kita. Selebihnya banyak masa terbuang dengan perkara-perkara yang kurang berfaedah di dalam hidup kita sehari-hari.

Jika mengambil kira masa bagi satu-satu watak di dalam novel yang perlu dituliskan, sudah tentulah hanya masa yang penting sahaja perlu ditulis. Tidak mungkin di dalam keseluruhan hidup sehari-hari, apa yang dilakukan oleh watak berkenaan perlu ditulis.

Sebagai penulis novel, wajar untuk memilih waktu yang penting sahaja. untuk ditonjolkan di dalam satu-satu babak. Itu pun mesti ada kaitan dengan plot cerita atau isi yang sedang dibicarakan.

Sebagai contoh jika plot novel itu sedang membicarakan soal perebutan anak di antara suami atau isteri yang sudah berpisah, dialog atau adegan yang perlu ditonjolkan mesti ada kaitan dengan masalah yang sedang dibicarakan.

Tentulah agak janggal, jika isu di atas sedang dibicarakan, tiba-tiba ada dua watak sedang membicarakan soal bermain futsal yang tidak ada kena mengena dengan plot.

Bagaimanapun isu ini boleh ditonjolkan di gelanggang futsal. Contohnya dua watak yang baru selesai bermain futsal, ketika sedang berehat watak A bertanya dengan watak B mengenai perkembangan dengan masalah penjagaan anak B yang belum selesai.

Apa yang penting ditonjolkan ialah isu penjagaan anak yang penting manakala permainan atau gelanggang futsal sebagai latar, bukannya watak A dan B sedang berbicara mengenai kekalahan bermain futsal dan mengenepikan masalah penjagaan anak..

Contoh lain, watak A bertanya kepada watak B mengenai masalah perebutan anak dengan bekas isterinya ketika sama-sama berjongging di taman tasik. Bukan fasal jogging yang hendak dibincang tetapi masalah perebutan anak yang perlu ditonjolkan.

Tiada ulasan: