Sabtu, 23 Januari 2010

BAHASA YANG SUKAR DIFAHAMI

KEPADA saudara, sila fikir-fikirkan komen mengenai tanggapan ini. Bahasa undang-undang lazimnya sukar difahami oleh orang biasa. Kita sukar memahaminya kerana ilmu yang ada pada kita tidak sampai untuk mengetahui maksud sebenar bahasa undang-undang itu. Ini kerana kita sendiri bukan pengamal undang-undang.

Tetapi bagi pengamal undang-undang, bahasa yang digunakan itu adalah bahasa yang betul dan tepat. Ia tidak menjadi masalah kepada mereka sebab ilmu mereka cukup untuk memahami bahasa undang-undang itu.

Begitu juga halnya dengan bahasa karya sastera sama ada puisi, cerpen atau novel. Bagi mereka yang mendiami geografi sastera, bahasa sastera yang sukar difahami itu memang perkara biasa kepada mereka.

Bagi mereka, itulah bahasa sebenar dan tidak menjadi masalah kerana ilmu mereka cukup dan mampu untuk menangkap apakah maksud yang hendak disampaikan oleh pengarang.

Tetapi bagi orang biasa yang berada di luar lingkungan dunia sastera, menganggap bahasa sastera terlalu sukar untuk difahami. Oleh kerana perbezaan jurang bahasa inilah yang kadang-kadang menyebabkan ramai yang tidak mahu mendekati sastera terutamanya puisi. Mereka tidak faham apakah yang hendak disampaikan oleh penulis melalui bait-bait puisi yang dihasilkan.

Dalam hal ini siapakah yang hendak disalahkan. Pengarang itu sendiri atau khalayak pembaca? Penulis akan bertegas mengatakan, apa yang ditulis itulah sebenarnya bahasa sastera manakala khalayak pembaca tetap mahukan bahasa yang mudah difahami.

Untuk lebih berlaku adil, kita tidak wajar untuk menyalahkan sesiapa. Seperti juga bahasa undang-undang, kita tidak wajar menyalahkan pengamal undang-undang. Jika kita tidak faham, adalah lebih baik kita belajar untuk memahami. Sikap ini tidak merugikan diri sendiri tetapi membawa kebaikan kerana ilmu kita secara tidak langsung bertambah.

Begitu juga dengan bahasa sastera, kita tidak wajar untuk menyalahkan penulis kerana itulah bahasa sastera yang digunakan. Kepada mereka yang tidak faham bahasa sastera, memahami dengan mempelajarinya adalah lebih baik kerana ia adalah ilmu. Kita tidak rugi mencari ilmu.

Untuk menyalahkan pembaca kerana tidak faham, juga tidak adil. Sebagai pembaca, mereka perlukan sesuatu yang mudah difahami sesuai dengan taraf kehidupan dan pendidikan yang sederhana, tidak berpelajaran tinggi umpamanya.

Perlu disedari pembaca terpaksa mengeluarkan duit untuk membeli sebuah novel. Tetapi apabila membacanya, pembaca sukar hendak memahami apa yang disampaikan oleh pengarang. Dia berhak untuk mendapatkan sesuatu yang mudah difahami setelah mengeluar duit untuk membeli novel itu.

Supaya lebih adil kepada semua pihak sama ada pengarang atau pembaca, lebih baik penulis mengambil jalan tengah yakni, semua golongan pembaca tidak sama taraf pendidikannya. Ada pembaca yang mahukan bahasa sastera di dalam karya-karya sastera malah ada juga pembaca yang mahukan bahasa yang mudah difahami.

Oleh yang demikian, apakah tindakan yang wajar dilakukan oleh penulis untuk lebih berlaku adil. Memang amat sukar untuk memuaskan semua pihak, Jika satu pihak berpuas hati, satu pihak lagi tidak akan berpuas hati.

Bagaimanakah caranya untuk memuaskan hati semua pihak?

Penulis harus mengambil jalan tengah sebaik mungkin. Penulis harus menyelami jiwa seorang pembaca yang taraf pendidikannya yang tidak setinggi mana dan menyelami jiwa sebagai pembaca yang berpelajaran tinggi.

Tiada ulasan: