Khamis, 29 Januari 2015

ELAK 'MERAPU' KETIKA MENULIS NOVEL



PERNAHKAH apabila kita membaca lembaran pertama, kedua, ketiga dan seterusnya, sesebuah novel, kita masih tidak dapat menangkap apakah yang hendak disampaikan oleh penulis? Kita akan tertanya-tanya apakah sebenarnya yang hendak disampaikan oleh penulis kepada pembaca sehinggakan mesej yang hendak disampaikan tidak jelas. 
      Penulis, menulis perkara-perkara yang tidak ada kaitan dengan pokok persoalan yang hendak disampaikan. Penulis menulis hal-hal yang tiada kaitan dengan persoalan yang hendak disampaikan.
     Sebagai contoh yang mudah, Ahmad hendak ke satu bandar B untuk mencari satu barang yang jaraknya kira-kira 15 kilometer sahaja dari rumah. Jika Ahmad dari rumah terus ke bandar B dan terus ke kedai yang dimaksudkan, masa yang diambil mungkin kira-kira tidak sampai setengah jam. 
      Tetapi jika Ahmad dari rumah, kemudian singgah di kedai kopi, kemudian singgah di stesyen minyak, selepas itu bertemu kawan lama, singgah pula di rumah kawan lamanya, setelah itu baru pergi ke kedai mencari barang tersebut, sudah tentu jarak yang 15 kilometer yang memakan masa tidak sampai setengah jam akan mengambil masa sehingga empat atau lima jam.
     Perbezaannya begitulah apabila kita menulis novel. Jika kita terus kepada pokok persoalan, pembaca akan mudah faham. Ini sebenarnya yang hendak disampaikan di halaman pertama dan seterusnya tetapi jika melakukan sebagaimana Ahmad yang singgah di beberapa tempat kemudian barulah pergi ke kedai, inilah yang menyebabkan pembaca tidak mahu meneruskan pembacaan sekaligus penulis gagal untuk menarik minat pembaca.
     Penulis menulis hal-hal yang remeh atau ‘merapu’ hanya untuk memanjang-manjangkan cerita tetapi tidak ada mesej  yang hendak disampikan. Pembaca  akan jemu dengan penulis yang suka merapu’ dalam penulisannya. Jika kita hendak menyampaikan sesuatu mesej, terus sahaja kepada pokok persoalan, jangan merapu kepada hal-hal yang tidak ada kaitan dengan cerita.
    Corak penulisan seperti ini juga dianggap ‘kabur’, tidak berkesan meskipun bahasa tulisannya indah, menarik dan puitis tetapi tidak mengandungi makna.
    Tulislah dengan bahasa yang mudah, tepat, jelas maksud apa yang hendak disampaikan. Jangan ‘terkeleweh-keleweh’ hendak menyampaikan sesuatu seperti seorang gadis yang tersipu-sipu untuk menyatakan sesuatu sedangkan perkara itu bukanlah sesuatu yang mengaibkan.
     Untuk memastikan pembaca tidak menutup novel meskipun baru membaca sehelai dua  muka surat, elakan daripada menulis mengikut cara di atas. Jika hendak menjadi penulis novel yang baik, banyakan mengkaji dan membaca novel-novel yang baik di pasaran.
      Kaji teknik penulisan, gaya bahasa, struktur ayat yang digunakan dan seumpamanya yang menyebabkan  anda mahu membaca berulangkali. Pasti ada sesuatu yang menarik jika anda sanggup mengulang baca beberapakali. 

Tiada ulasan: