Isnin, 13 September 2010

FUNGSI BAB TENGAH NOVEL

SEBAGAIMANA bab awalan, bab-bab pada bahagian tengah novel juga ada kepentingannya. Apakah kepentingan itu? Kita cuba kaji satu persatu.

Sama ada disedari atau tidak, kebanyakan penulis mengabaikan kepentingan bab tengah novel kerana memberi lebih tumpuan kepada awalan dan klimaks (akhir) novel.

Perlu diingatkan, kepentingan cerita pada bab-bab tengah bukanlah hanya sekadar sebagai pelengkap novel yakni ada awal, tengah dan klimaks sahaja. Ia sama pentingnya dengan bahagian depan dan belakangnya.

Sebagai contoh jika novel berkenaan mempunyai 30 bab. Bab 1 -10 merupakan bab awal. Manakala bab 11 – 21 merupakan bab pertengahan sementara bab 22 – 30 merupakan bab akhir atau klimaks.

Secara amnya bahagian tengah novel diumpamakan sebagai puncak konflik yang sering membawa keregangan di mana bermula dari sini, tolakan akan berlaku kepada bab-bab seterusnya sehingga klimaks.

Pada bahagian pertengahan ini perkembangan watak utama sudah nampak jelas sama ada dari segi sikap dan tindakannya. Manakala bab-bab seterusnya akan mendedahkan keseluruhan perkembangan watak dan perkembangan isi cerita.

Watak-watak sampingan pada peringkat ini juga perlu selaras dengan perkembangan watak utamanya.

Jika pada bab awalan, tetamu dibawa untuk singgah di ruang tamu, pada bab pertengahan ini tuan rumah (pengarang) akan membawa tetamu (pembaca) masuk lebih dalam ke seluruh isi rumah, bahagian tengah, bilik mandi dan bahagian dapur.

Membawa pembaca menyelami isi cerita sebelum ke bahagian akhir, ibarat mambawa tetamu melihat sekitar isi ruang rumah. Seandainya tetamu berasa teruja dan berasa dihargai oleh tuan rumah, sudah tentu tetamu kemungkinan akan bermalam di rumah itu.

Tiada ulasan: