Isnin, 13 September 2010

FUNGSI BAB AKHIR NOVEL

KEPENTINGAN bab-bab akhir atau klimaks novel rasanya tidak perlu untuk diperkatakan lagi kerana mereka yang sudah mengenali ciri-ciri sesebuah novel pasti tahu apakah fungsinya. Bagaimanapun ada baiknya, kita imbas semula perlajaran ini supaya kita tidak terlepas mengetahui kepentingan bahagian bab-bab akhir sesebuah novel.

Bahagian akhir novel merupakan benteng terakhir plot sesebuah novel. Sebelum menghampiri ke bab-bab akhir, pastikan dahulu segala persoalan dan konflik pada bab-bab yang lepas diselesaikan satu persatu, jangan sampai ada yang tertinggal.

Sekiranya ada konflik atau persoalan yang tidak terjawab, ini akan menyebabkan pembaca kurang berpuas hati. Pihak editor yang penyunting manuskrip ini pasti akan dapat mengesan ada konflik atau persoalan yang tidak diselesaikan kecuali sengaja dibiarkan dengan niat novel itu akan bersambung.

Oleh kerana bahagian akhir juga merupakan jambatan di antara bab tengah dengan bab akhir, pastikan tidak ada lubang-lubang yang sengaja dibiarkan. Ini akan mencacatkan plot cerita.

Bagaimana cara penulis menyelesaikan novelnya, itu bergantung kepada kebijaksanaan penulis. Ada sesetengah penulis sengaja mahu menggantung cerita dengan harapan, pembaca akan berfikir sendiri mencari jawapannya.

Ada juga juga penulis yang mengakhiri novelnya dengan ‘happy ending” di mana segala konflik dan persoalan dijawab dengan sebaik mungkin. Manakala watak hitam pula menerima pembalasan akibat perbuatannya sementara watak putih yang pada mulanya menerima tekanan akhirnya mencapai kemenangan.

Ada juga penulis yang mengakhiri cerita dengan babak kesedihan dengan harapan mendapat simpati pembaca. Bagaimana pun semua itu bergantung kepada cerita novel itu sendiri, adakah ia wajar ditamatkan dengan cara yang sudah diduga oleh pembaca atau sebaliknya.

Tiada ulasan: