KALAU kita rajin mengkaji novel-novel yang ditulis
oleh penulis baru, banyak kesilapan yang mereka lakukan sama secara disedari
atau tidak. Kesilapan ini dilakukan mungkin kerana kurang bahan ilmu bantu atau
penulis itu sendiri belum masak dengan penulisan novel.
Di antara kesilapan yang sering dilakukan ialah:
Kurang konflik.
Bagi
sesebuah novel, konflik merupakan nyawa kerana konfliklah cerita akan
berkembang biak. Lebih banyak konflik, lebih baik tetapi harus berhati-hati
untuk menyelessikannya. Bukan mencipta konflik tetapi tidak ada jalan
penyelesaiannnya.
Konflik
tidak bersimpang siur sehinggakan pembaca menjadi keliru.Sebaik-baiknya konflik
jangan terlalu lama hendak diselesaikan. Apabila menimbulkan konflik pada bab
1, cuba selesaikan pada bab yang tidak terlalu jarak.
Selesai satu konflik. Timbulkan konflik lain. Atau
timbulkan dua atau tiga konflik dan diselesaikan mengikut turutan. Sepanjang cerita
dalam novel berjalan, ada sahaja konflik tercetus. Ini akan memaksa pembaca tidak
akan meninggalkan pembacaan selagi konfik tidak diselesaikan.
Ini juga untuk mengelakkan penulis ketandusan idea
untuk meneruskan cerita. Novel terbengkalai, salah satu puncanya kerana tidak
ada konflik. Jika tidak ada konflik, bermakna tidak ada masalah yang hendak
diselesaikan.
Salam satu tujuan menulis novel ialah mewujudkan
cerita, kemudian mewujudkan masalah dan menyelesaikan masalah. Selagi ada
masalah, selagi itulah jalan cerita semakin panjang. Tugas penulis ialah
mencetuskan masalah dan bagaimana mahu menyelesaikan masalah.
Jangan sesekali mencetuskan masalah jika tidak tahu
bagaimana mahu menyelesaikan masalah. Mematikan watak untuk menyelesaikan
masalah bukanlah jalan terbaik. Kecuali jika watak itu dimatikan untuk mewujudkan
masalah lain.
Konflik pula mestilah sesuai dengan watak dan ada
kaitan. Jangan timbulkan konflik yang tidak ada kaitan dengan watak. Cara
hendak menyelesaikan konflik pula hendaklah secara berperingkat-peringkat
tetapi sedikit demi sedikit.
Sebagai contoh jika ada watak berhutang dengan
seseorang. Dengan membayar hutang, kita fikir masalah akan cepat selesai.
Memang betul. Tetapi cara itu sangat mudah. Tidak mencabar. Mungkin untuk
lebih mencabar, watak terpaksa melakukan
pelbagai kerja sehingga tidak memikirkan kesihatan diri.
Apabila duit sudah hampir cukup untuk membayar
hutang, duit pula kena rompak atau disamun. Timbul pula konflik baru. Konflik
saling bertimpa akan menyebabkan penulis sentiasa ada idea untuk menyelesaikan masalah yang
belum selesai.
www.sifubuku.com
www.sifubuku.com