Sabtu, 9 Oktober 2010

EBOOK CARA MUDAH MENULIS NOVEL MASIH BOLEH DIMILIKI



SAYA masih menerima SMS dan emel yang bertanyakan adalah ebook Cara Mudah Menulis Novel yang saya hasilkan masih dijual lagi? Dan adakah ebook ini boleh didapati di kedia-kedai buku?

Ya, ebook Cara Mudah Menulis Novel masih dijual lagi. Harganya masih sama iaitu RM 40.00. Mereka yang ingin memilikinya boleh menulis emel atau SMS ke 013-3635560 untuk mendapatkannya atau melayari blog ini kerana semua makluman mengenai pembelian ebook ini ada dinyatakan.

Mereka yang membeli ebook ini akan menerima satu novel percuma sebagai bonus pembelian berjudul ‘Sebening Airmata’ selain 10 Tip Bimbingan Menulis Novel yang akan dikirimkan secara berperingkat-peringkat.

Anda tidak rugi memiliki ebook CARA MUDAH MENULIS NOVEL ini kerana banyak manfaat yang akan anda perolehi. Anda akan diterangkan sesuatu topic bersertakan contoh sekali untuk mudah difahami.

Mereka yang ingin memiliki ebook PERCUMA Panduan Menulis Novel – Berdasarkan Kisah Benar juga masih boleh berbuat demikian. Anda boleh emelkan permintaan anda itu ke alamat: mnasd_326@yahoo.com atau SMS ke 013-3635560 dengan memberikan alamat emel anda.

Selain itu, sebuah lagi ebook yang masih boleh dimiliki ialah 50 TIP PANDUAN MENULIS NOVEL berharga RM 20.00. Ebook ini mengandungi tip-tip yang berguna kepada mereka yang ingin menghasilkan novel.

DIALOG DALAM NOVEL ADALAH ISI HATI PENGARANGNYA

APA jua dialog yang dihasilkan oleh penulis, kesemuanya adalah hasil dari hati nurani penulisnya. Jika dialog itu dituturkan oleh seorang pengemis, seorang pelacur, seorang tokoh agama dan sebagainya, semuanya dihasilkan dari hati nurani penulisnya. Penulis boleh menjadi watak apa sahaja di dalam novelnya.

Oleh yang demikian penulis wajar memiliki batasannya ketika menyelami watak-watak yang ditulisnya. Itulah kelebihan penulis yang jarang ada pada orang lain. Penulis boleh menjadi sepuluh watak atau lebih di dalam novelnya.

Sempadan atau batasan tidak wajar dicampur adukan. Sebagai contoh adegan seorang guru agama sedang menasihati seorang pelacur supaya bertaubat. Pada masa yang sama penulis menyelami watak guru agama. Ketika menyelami watak guru agama, penulis harus menjadi seorang guru agama dan bukannya seorang pelacur untuk menyampaikan tazkirahnya.

Selesai menyampaikan tazkirahnya, penulis juga kemudian menyelami watak seorang pelacur yang ingin kembali ke jalan yang benar. Pada ketika ini, penulis akan meletakkan dirinya sebagai pelacur.

Kadang-kadang tanpa disedari, pelacur pula yang memberi nasihat kepada guru agama untuk kembali ke jalan yang benar. Begitu juga sebaliknya. Bagaimanapun hal seperti ini jarang-jarang berlaku kerana sebagai penulis, mereka harus bijak meletakan dirinya pada pihak yang mana ketika berdialog.

Sebab itulah ketika menuturkan dialog harus ada pro dan kontra. Siapa yang pro dan siapa yang kontra, penulis juga yang menetapkan wataknya. Jika watak A yang kontra, watak B yang pro, jangan pula pada adegan selepasnya berlaku keterbalikan. Pembaca akan menjadi keliru. Bagaimanapun, hal-hal seperti ini akan dapat diperbetulkan setelah manuskrip siap, dan kerja-kerja membaca semula atau mengedit dilakukan sebelum manuskrip dihantar ke penerbit.

CONTOH DIALOG BERKONFLIK

MASIH lagi membicarakan fasal dialog.

Sebelum ini sudah dibincangkan mengenai dialog kosong dan dialog berisi. Kali ini akan dibincang mengenai dialog ada konflik dan dialog tiada konflik. Bagaimanakah ingin mengetahui dialog ada konflik dan dialog tiada konflik.

Dialog lazimnya diucapkan oleh dua watak atau lebih.Jika satu watak yang beridalog, itu dinamakan monolog dalaman, di mana watak akan berkata-kata dengan dirinya. Hal ini akan dibincangkan pada lain ketika.

Contoh dialog tiada konflik. Katakanlah A bertemu dengan B di sebuah pasaraya. Perbualan itu mungkin seperti ini.

“Kau apa khabar?” A bertanya.

“Baik. Kau pula apa khabar?” B menjawab dan bertanya soalan yang sama.

“Anak berapa orang?” A bertanya lagi.

“Empat orang. Dua lelaki dan dua perempuan.” B menjawab.

Contoh dialog di atas jelas tiadak ada konflik dan dialog kosong yang tidak ada konflik. Cuba pula bandingkan dengan dialog berikut. Kisahnya masih
sama, pertemuan di antara A dan B di sebuah pasaraya.

“Hei Kimi, apa khabar?” Haikal bertanya setelah lama tidak menegur.

“Baru sekarang nak tanya khabar? Selama ini bila kau Nampak aku dari jauh, kau pura-pura pandang tempat lain. Kau ingat aku tak perasaan?” Hakimi menjawab sambil memandang wajah Haikal yang nampak berubah.

“Kau sengaja nak cari fasal, Kimi. Perkara dah lepas, biarlah lepas. Aku pun tak nak fikirkan peristiwa lalu. Aku ingat kau pun sama tapi nampaknya kau masih nak berdendam,” balas Haikal memandang kea rah lain.

“Aku tak boleh lupa apa yang pernah kau buat pada aku dulu, Sampai sekarang pedihnya masih terasa, kau tahu tak?”

“Bukankah aku dah minta maaf. Kau pun dah maafkan. Apalagi yang kau mahu?”

Dialog di atas ialah dialog berisi yang ada mesej. Babak di atas boleh dikembangkan pada bab-bab selepas ini dengan mewujudkan peristiwa yang telah berlaku sehingga tercetus adegan ini dan apa yang akan berlaku seterusnya.

Anda tentu boleh bezakan dua contoh dialog yang diberikan. Adegan di atas boleh diteruskan atau dimatikan sahaja di mana kesinambungannya ditulis pada bab-bab selepas ini.

Bolehlah dibuat kesimpulan, apabila dua watak sedang menuturkan dialog biarlah ada pententangan pendapat, barulah wujud konflik bukannya watak hanya mengiakan sahaja apa yang dikatakan oleh watak seorang lagi.

Jumaat, 8 Oktober 2010

MENGENALI KELEMAHAN NOVEL

SEBAGAI penulis novel, mungkin kita sendiri tidak menyedari kelemahan novel kita tulis. Oleh yang demikian, para pembaca yang mahir sahaja dapat melihat di mana kelemahan novel. Sekiranya novel itu belum diterbitkan, mungkin ia boleh diperbaiki tetapi jika sudah terbit barulah disedari kelemahannya, cuba baiki kelemahan itu pada novel akan datang.

KELEMAHAN BAHASA
Kelemahan ini dapat dilihat sebaik sahaja kita mula membaca novel berkenaan. Sama ada bahasanya sesuai atau tidak dengan sasaran membaca, penilaian boleh dipastikan ketika ini.

KELEMAHAN PENGOLAHAN
Kelemahan seperti ini hanya dapat dipastikan apabila kita selesai membaca novel itu sama ada membaca sebehagian novel atau keseluruhan novel ini. Pengolahan yang tidak tersusun akan mengelirukan pembaca. Ini berlaku kerana penulis tidak menyediakan format atau garis panduan sebelum menulis novel.

KELEMAHAN WATAK UTAMA
Menenggelamkan peranan watak utama sebaliknya watak pembantu pula yang menonjol akan menjejaskan novel ini. Watak utama wajar diberi peranan yang lebih sesuai dengan wataknya, watak pembantu hanya sebagai pendokong.

KELEMAHAN JALAN CERITA
Penulis tidak mewujudkan persoalan atau konflik sehingga kelihatan perjalanan novel mendatar. Sebaik-baiknya perjalanan novel ada turun naik seperti geraf dan persoalan demi persoalan ditonjolkan sehinggakan pembaca tidka sabar untuk mengetahui apakah yang akan berlaku selanjutnya.

KELEMAHAN JIWA WATAK UTAMA
Watak utama digambarkan sebagai orang yang lemah, tidak bersemangat tidak sesuai dengan peranannya sebagai ‘hero’. Hero ialah orang yang kuat, tabah, sedia berhadapan dengan cabaran di mana akhirnya mencapai kejayaan walaupun pada awalnya lemah tetapi akhirnya bangkit dan mencapai kemenangan.

Apa yang dinyatakan di atas merupakan kelemahan sesebuah novel yang dapat dikesan. Tetapi sebenarnya banyak lagi kelemahan yang boleh diperolehi jika seseorang rajin membuat kajian.

Sebagai latihan, cuba baca sesebuah novel kemudian catatkan apakah bentuk kelemahan itu. Kemudian buat pula catatan bagaimanakah pula untuk mengatasi kelemahan itu. Penulis novel seperti juga manusia lain, ada kelemahan dan ada kehebatannya. Mencari kelemahan dan cuba mengatasi kelemahan itu akan mematangkan penguasan terhadap penulisan novel.

KEPENTINGAN BAB AWAL NOVEL

JIKA anda berhajat ingin menyertai mana-mana sayembara menulis novel, jangan abaikan kepentingan bab-bab awal novel. Bab-bab awal novel seperti bab 1,2,3,4 dan 5 perlu diberi perhatian. Ini kerana bab awal merupakan magnet atau daya penarik untuk ahli panel membaca keseluruhan cerita.

Bayangkan jika bab 1 sehingga bab 4, ahli panel masih tidak dapat menangkap apa yang hendak disampaikan oleh penulis dalam novelnya. Kegagalan penulis akan menyebabkan ahli panel tidak meneruskan pembacaan kerana merasa bosan dan penulis lambat hendak menyampaikan mesej.

Perlu diingatkan setiap ahli panel bukan hanya membaca sebuah novel sahaja, mungkin lebih daripada 10 manuskrip. Untuk menjimatkan masa, hanya novel-novel yang menarik sahaja akan mendapat perhatian.

Sekira pada bab pertama, ahli panel sudah dihidangkan dengan kejutan, suspen dan mendebarkan sudah tentu ahli panel akan tertarik untuk mengetahaui apakah yang akan berlaku seterusnya.

Bagaimanapun untuk memastikan bab-bab awal mengandungi mesej dan kejutan, ia memerlukan kemahiran penulis mengolah cerita di mana setiap bab akan diakhiri dengan persoalan. Persoalan itu pula akan dijawab pada dua atau tiga bab selepas itu.

Untuk memahirkan diri mengetahui teknik seperti ini, penulis disarankan agar membaca novel-novel yang pernah memenangi sayembara. Kaji gaya penulisan, pengolahan, bahasa dan sebagainya.

Di dalam satu-satu sayembara pihak penganjur akan menerima puluhan manuskrip. Sekiranya manuskrip anda berjaya termasuk dalam sepuluh yang terbaik, di peringkat akhir, itu sudah cukup membanggakan.

Oleh yang demikian kepada yang berniat ingin menyertai mana-mana sayembara penulisan novel, pastikan bab-bab awal novel anda itu mampu memikat ahli panel untuk membaca sehingga ke akhir.

DIALOG BERISI DAN DIALOG KOSONG

APAKAH dialog berisi dan dialog kosong?

Dialog berisi ialah dialog yang mengandungi mesej yang hendak disampaikan atau dialog yang mengandungi konflik dan perlu diselesaikan. Manakala dialog kosong ialah dialog yang tidak mempunyai mesej atau konflik yang tidak perlu ditonjolkan. Dialog yang tidak penting ini kadang-kadang disebut juga ‘dialog klise’ yang tidak ada kena mengena dengan jalan cerita. Jika tiada, ia tidak menjejaskan jalan cerita.

Contoh dialog penting:

“Apakah pesakit skizofrenia ini akan mengalami kesakitan sepanjang hayatnya dan tidak boleh disembuhkan, doktor?” Encik Fairuz inginkan kepastian daripada doktor yang merawat anak gadisnya.

“Skiofrenia ialah penyakit kecelaruan mental yang serius di mana tanda-tanda seseorang itu akan mengalami kemerosotan tugas dan peranannya sebagai manusia yang produktif,” jawab Dr. Iz Taufik, doktor pakar yang merawat Iffah Filzah.

“Apakah penyakit ini boleh mempengaruhi pemikiran pesakit itu doktor?” Tanya Encik Fairuz lagi.

“Ya, pesakit yang menghidapi penyakit ini boleh mempengaruhi emosi, persepsi, tingkahlaku, personality dan pemikiran,” jawab Dr. Iz Taufik sambil memandang wajah Encik Fairuz yang resah memikirkan masa depan anak gadisnya.

Contoh dialog di atas adalah fakta yang memerlukan kesimbungan cerita apakah yang berlaku selepas itu dan apakah yang menyebabkan seseorang itu terjebak dengan penyakit itu. Kesimbangungan cerita di atas tidak semestinya berkahir pada babak berkenaan sahaja tetapi wajar juga diselitkan pada bab-bab seterusnya.

Contoh dialog kosong:

“Man, kau apa khabar, lama tak jumpa?” Idrus bertanya kepada Man ketika terserempak di sebuah pasaraya.

“Aku baik saja. Kau apa khabar? Sejak kita habis kursus setahun lepas, kau tak hubungi aku. Kerja di mana sekarang?” Man bertanya sambil bersalaman.

“Aku macam nilah. Sejak habis kursus keusahawanan dulu, aku bisnes kecil-kecilan. Tapi nasib aku malang, bisnes aku gagal,” ujar Idrus seolah-olah kecewa.

“Aku pulak masih kerja tempat lama. Jadi kerani cabuk, nak berniaga tak berani lagi, takut gagal macam kau,” balas Man.

Dialog di atas tidak ada mesej penting yang hendak disampaikan hanya sekadar bertanya khabar dan perkembangan terbaru di mana dialog seperti di atas sudah ‘klise’ atau sudah biasa.

Sebagai penulis novel cuba elakkan dialog yang tidak penting, apatah lagi tidak ada kena mengena dengan jalan cerita. Dalam erti kata lain, dialog itu tidak menjejaskan cerita jika ditiadakan tetapi jika ditulis juga, sudah tentu ia tidak memberih kesan apa-apa, hanya sekadar untuk memanjang-manjangkan cerita.

Di dalam kehidupan kita sehari-harian, kita sudah tentu dapat membezakan mana satukah perbualan kita yang ada kena mengena dengan diri kita atau perbualan kosong yang tidak memberikan faedah apa-apa.

Dalam erti kata lain, dialog penting ialah dialog atau perbualan yang jarang kita ucapkan ketika perbualan sehari-harian dan dailog itu pula mengandungi isi yang hendak disampaikan.

Manakala dialog kosong pula merupakan dia yang sudah biasa diucapkan seperti:

“Sudah makan?”

“Belum. Nak belanja?”

“Sudah minum?”

“Sudah, minum air kosong saja.”

“Dari mana?”

“Tak dari mana-mana. Saja jalan-jalan cari makan..”

Diharapkan, pembaca dapat membuat perbandingan. Cuba tuliskan dalam satu kertas perbezaan dialog penting dan tidak penting sebagai latihan.